Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Seorang pegawainya dijadikan tebusan. Perisikan Malaysia berjaya melepaskan pegawai itu. Namun, mereka kini dikejar musuh!

‘VOOOOOOOOMMMM’
>Tunduk! arah Normala kepada semua.

Secara spontan, masing-masing menunduk. Tanpa sempat berkelip, peluru bazooka bersiung melintasi kepala mereka. Bahang apinya terasa memijar kulit. Gerakannya laju ke hadapan. Kira-kira 10 meter daripada jip mereka, ia terperosok menghentam lereng bukit.

Tanah bukit kelihatan terhambur ke udara. Pokok-pokok kecil terbungkas akarnya dan melayang. Tanah lembab terpercik ke cermin jip. Normala segera menyembur air di cermin dan menghidupkan alat pengelap.

Dua tiga kali alat itu mengelap, cermin jip semakin kusam. Tanah bertukar menjadi lumpur. Normala tidak dapat melihat halatuju kenderaan.

Lantas dia menghentak cermin menggunakan bontot pistolnya. Mujurlah cerminnya jenis fiber yang kuat. Ia tidak retak seribu. Sebaliknya hanya pecah berlubang.

Dari celah lubang itulah Normala mengintai. Pergerakan jip pun mencapai kelajuan semula. Meninggalkan kenderaan musuh jauh di belakang. Dalam kedudukan itu, musuh berhenti menembak. Mungkin tidak mahu tertembak Rauzah yang mereka ingin tangkap semula hidup-hidup.

Jeffri berdiri menghala ke sisi kiri kenderaan dan membidik rifelnya ke arah helikopter. Masih menunggu saat yang sesuai dan tepat untuk menembak. Pandangannya teralih pula pada dron Cenderawasih yang merendahkan penerbangannya.

>Bum!

Jip terlanggar batu besar yang berada di tengah jalan ketika menuruni bukit. Normala segera mengundurkan jip. Ia mengundur sedikit, kemudian terhenti walaupun enjinnya masih hidup.

>Klung, klang, klung, klang…
Kedengaran bunyi sesuatu yang kuat dari arah enjin.
>Argh! Bunyi kipas! Radiator dah kemik! bentak Jeffri.

Kenderaan musuh kian menghampiri. Normala terus menekan pedal minyak. Namun jip hanya bergerak sedikit. Fariz membidik rifelnya untuk menyambut kedatangan kenderaan musuh. Dia memetik picu. Namun…

>Woi! Peluru dah habis! pekik Fariz bila hanya bunyi ‘klik-klik-klik’ sahaja yang kedengaran.

Matanya meliar tercari-cari andainya terdapat bekalan peluru di ruang jip itu. Dia tertunduk-tunduk menggeledah peti menyimpan peluru. Lalu tergeleng-geleng bila mendapati tiada lagi peluru yang ditemui.

>Baling ajelah rifel kamu tu! sampuk Jeffri.

Kata-kata itu membuatkan Fariz menoleh. Dia bertentang mata dengan Jeffri. Dalam keadaan genting sebegini, mengapa Jeffri boleh memperlinya? Rasa amarahnya tiba-tiba datang.

>Baling rifel tu! kata Jeffri dengan nada memerintah sambil menggayakan perbuatan membuang rifel dengan senjatanya.

Barulah Fariz tersedar yang dia tersalah sangka. Jeffri bukan memperlinya. Sebaliknya dia mahu Fariz melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka. Kini Fariz menggenggam muncung rifelnya.

Menanti kedatangan kenderaan musuh. Tangannya menghayun rifelnya hingga berputar dalam bentuk bulatan. Apabila kenderaan musuh begitu hampir, rifel itu dilepaskan. Senjata itu melayang dan mendarat tepat ke cermin kenderaan musuh dan memecahnya.

Kenderaan musuh kelihatan tidak tentu arah apabila cerminnya retak seribu. Ia bergesel dengan bucu jip mereka sebelum terbabas ke bahu jalan. Pada ketika itulah satu gerakan api melayang dan menghentam kenderaan musuh. Ia terbakar dan meletup.

Mereka semua sempat mendongak dan terpandang Cenderawasih yang terbang rendah. Pasti peluru yang menghentam kenderaan musuh itu datang dari kapal terbang tanpa pemandu itu. Mereka semua tersorak gembira.

Namun, kegembiraan mereka hanya sementara. Pergerakan helikopter teralih ke arah Cenderawasih lalu mengejarnya. Seperti helang mengejar pipit. Hujan peluru mula terhambur ke badan Cenderawasih. Cahaya-cahaya jingga kelihatan berdesup-desap mengejar dron itu.

Akhirnya sebutir pelurunya dapat menghentam Cenderawasih. Serta merta kelihatan api terpercik dan terpancar seperti bunga merah. Bunga merah itu kemudian membesar menjadi bebola api. Cenderawasih terbakar, meletup dan terjunam ke laut.

Seketika sahaja pergerakan helikopter kini berputar semula ke arah mereka lalu datang menghampiri…

*Bersambung…

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021


PESAN SEKARANG