Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Seorang pegawainya dijadikan tebusan. Perisikan Malaysia berjaya melepaskan pegawai itu. Namun, mereka kini dikejar musuh! Maut bagai mengiringi perjalanan mereka!

Bilik Mesyuarat Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya
SEMUA mata tertumpu pada imej jip yang dipandu Normala Mustakim dari pandangan udara. Imej yang dipancar dari Cenderawasih, dron TUDM itu jelas tertayang seperti wayang gambar.

Kira-kira 70 meter di belakang, dua buah kenderaan musuh sedang laju mengekori. Kelihatan percikan-percikan cahaya yang bergerak laju. Menandakan tembakan sedang dilepaskan oleh kedua-dua pihak.

>Kita doakan mereka selamat,” demikian ujar PM yang turut sama menonton situasi itu.

Para anggota Majlis Pertahanan Negara yang lain bagai tak senang duduk. Mereka tahu, usaha menyelamat Rauzah pasti menerima tentangan dan halangan. Peluang di antara berjaya atau gagalnya Ops Sambar bergantung pada kecekapan dan koordinasi mereka yang berada di medan operasi.

Andainya berjaya, maruah Malaysia akan dipandang tinggi. Jika sebaliknya, bukan sahaja imej negara dipandang rendah, malah kemungkinan kesemua nyawa mereka yang berada di dalam jip itu akan melayang!

…………
NORMALA memandu laju merentasi padang pasir. Lautan Hindi kini berada di sebelah kiri. Dua kenderaan musuh masih mengekori. Fariz masih berbalas tembakan dengan musuh.

Jeffri pula membidik rifelnya ke arah helikopter yang sedang mengekori. Hanya menanti saat untuk melepaskan tembakan.

>Datuk! Tunduk! Biar kami buat kerja! arah Normala tanpa menoleh. Tangannya masih erat memutar stereng jip.

>Tak apa. Jangan risau. Nak mati pun kat mana-mana, jawab Rauzah.

Terangkat kening Normala bila mendengar jawapan itu. Tidak suka dengan jawapan wanita yang degil tak kena tempat. Namun, dia tidak boleh membantah. Jika membantah jadi telingkah. Bila bertelingkah, akan timbul masalah. Dia harus fokus. Fokus kepada pemanduannya.

>Saya tahu jalan kat sini! pekik Rauzah kerana bunyi enjin kenderaan dan kipas helikopter menenggelamkan suaranya.
> Lepas lalu bukit kat depan tu, ada jalan lama. Itu jalan pintas. Kita boleh cepat sampai ke Baraawe.

Fariz menyasarkan rifelnya. Lalu melepaskan tembakan. Sasaran tidak mengena kerana ketika das dilepaskan, jip terlambung bila terlanggar batu. Fariz menembak lagi. Tersasar lagi kerana kenderaan membelok pula. Hampir-hampir Fariz terduduk.

>Mala! Aku susah nak tembaklah. Bawaklah pelan, sikit! pekik Fariz.
>Woi! Engkau ingat aku bawak bas pelancong, ke? jawab Normala.
>Aku tak kira kau bawak apa. Bagilah aku can nak tembak, ni!

>Okey! Okeyyyyyyy!

Normala menekan brek. Brek mati!

Mereka semua terpekik. Jeffri hampir tersembam ke cermin hadapan. Rauzah sempat menahan tubuhnya daripada terhumban ke hadapan dengan menggenggam kerusinya. Fariz pula hampir tergolek. Mujurlah lengannya kejap memaut palang yang melintangi kenderaan.

>Woi! Akak gila, ke? jerit Fariz bila terpandang kenderaan pacuan empat roda semakin menghampiri. Dia nampak kenderaan itu menekan brek. Wajah pemandunya yang panik semakin jelas kelihatan bila kenderaan itu kian menghampiri.

Dalam beberapa saat lagi, kenderaan itu akan menghentam jip. Fariz sudah bersedia untuk melompat keluar menyelamatkan diri bila dia terhenyak ke kiri kenderaan. Rupa-rupanya secara tiba-tiba Normala menekan minyak dan memecut kenderaan. Lantas membuat pusingan-U.

Asap debu terus berterbangan. Menjadikan ia smoke screen semulajadi yang mengkaburkan pandangan di antara jip dan kenderaan musuh.

>Fariz! Cepat! Aku cover! pekik Normala seraya melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kenderaan musuh dengan pistolnya. Tangan kirinya masih kejap memegang stereng.

Percikan peluru musuh masih menghujani jip. Fariz duduk bertinggung. Dia tercium peluang. Baru dia sedar mengapa Normala membuat pusingan-U. Dalam masa tiga saat, jip akan berselisih dengan kenderaan musuh. Fariz mesti mengambil peluang itu.

Jangkaannya tepat. Sebaik sahaja kedua-dua kenderaan itu bersebelahan, Fariz melepaskan berdas-das tembakan ke arah tangki kenderaan itu. Serta-merta api menyambar. Sisi kenderaan musuh mula terbakar. Empat orang musuh kelihatan melompat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup.

>Yes! Alhamdulilah! kata Fariz.
>Ya, ALLAH!” Normala terpekik pula.

Jip diputar segera ke kiri. Membuat ia terheret mengiring. Persis dalam aksi drag. Sempat mengelak sebuah lagi kenderaan musuh yang mengekori kenderaan pertama yang meletup itu. Kenderaan musuh mula mengubah haluan. Membuat pusingan-U juga untuk mengejar mereka.

Normala menekan minyak. Memecut untuk meninggalkan kenderaan musuh. Namun kuasa kuda kenderaan musuh itu lebih besar. Seketika sahaja ia sudah menghampiri. Desiran peluru kedengaran melintasi di kiri kanan kenderaan. Normala terpaksa memutar stereng ke kiri dan kanan untuk mengelak.

>Wo, wo, wo! Fariz memberi amaran.

Masing-masing sempat tertoleh dan nampak musuh mula memikul bazooka. Satu das peluru bazooka cukup untuk menghancurkan mereka semua!

*Bersambung…

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG