Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Seorang pegawainya dijadikan tebusan. Perisikan Malaysia berjaya melepaskan pegawai itu. Namun, mereka kini dikejar musuh!

KOMPLEKS seluas empat hektar ini dibuka sebagai tapak operasi carigali Extron Corporation di Kwanza. Dijagai oleh Gruesome Group yang diketuai oleh Rock Robson. Beliau adalah anggota pengurusan tertinggi Gruesome Force, Amerika.

Gruesome Force adalah sebuah agensi para militeri yang mengawal pelbagai kepentingan syarikat-syarikat swasta antarabangsa Amerika di merata dunia. Extron Corporation, sebuah syarikat minyak Amerika adalah salah satu di antaranya.

>Mana imejnya? Mana dia? pekik Rock kepada para petugasnya.

Suaranya menggaung menjangkaui seluruh bilik operasi. Para petugas di bilik itu tertunduk-tunduk cuba mendapat imej terkini kenderaan yang dipandu Normala. Namun, imej itu tidak kelihatan kerana mereka menggunakan MAGNAS atau Malaysian Global Navigation System.

>Kami tak dapat lagi, tuan! jawab seseorang petugas yang berada berhampiran dengan tempatnya berdiri.
> Kamu semua lembab! Kita guna cara konvensional! Arahkan Bad Holac cari kenderaan musuh! Aku mau perempuan itu!”

KENDERAAN yang dipandu Normala meluncur laju. Tayar-tayarnya menggeser bumi dan menggembur tanah. Mengangkat pasir dari bumi dan meninggalkan kenderaan itu lingkaran debu yang berputar dan menghilang di udara.

Jeffri duduk bagai patung di sebelah Normala. Kelubung kepalanya sudah dibuka. Rambut panjangnya dimasukkan ke dalam kolar baju. Menghilangkan identiti Jabril kepada Jeffri Zain. Tidak mahu orang Bad Holac mengecamnya sebagai pembelot.

Dia tahu, pada bila-bila masa orang Bad Holac akan muncul mengejar mereka. Jejarinya kemas berada di picu rifel Tokarev yang dibawa. Sesekali dia kedengaran berkomunikasi secara handsfree dengan fonselnya.

Rauzah pula sempat memejam mata. Meskipun terkatup, fikirannya menerawang entah ke mana akibat keletihan. Fariz yang berdiri di belakang jip tidak berbumbung itu sentiasa bersiap siaga. Memicing pandangannya pada setiap batu dan pepohon kecil yang dilalui jip ini. Awas dari segala kemungkinan.

>Wow!

Normala memutar setereng ke kiri apabila sebuah pacuan empat roda memintas kenderaannya. Rauzah terpekik seketika dan terus berpaut pada palang kerusi kerana terkejut. Jeffri tidak menunggu lama. Rifelnya memuntahkan peluru.

Kenderaan musuh yang dielak sempat memintas. Debu yang digembur dari tayar kenderaan itu membutakan pandangan. Seseorang dari kenderaan musuh sudah berdiri mengangkat pistol. Normala membrek dan membelok ke kiri! Membiarkan kenderaan musuh meninggalkan jipnya.

>Hati-hati! jerit Fariz.

Sesaat dia memberi amaran, kenderaan mereka disondol oleh sebuah lagi kenderaan musuh yang baru muncul dari belakang! Menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan tebing di tepi jalan. Fariz terjatuh terduduk. Tembakannya tersasar ke langit. Kenderaan musuh terus menyondol.

>Wo, wo, wo!

Normala memutar setereng kenderaannya ke kanan pula. Sempat mengelak kenderaan di hadapan. Membuatkan kenderaan di belakang mereka menyondol kenderaan musuh di hadapan. Berlanggar sesama mereka.

>Macam rali, pulak! Dia tersengih dalam keadaan yang genting sebegitu. Seolah-olah seronok dengan situasi cemas yang dilalui.

Dia memecut meninggalkan kedua-dua kenderaan musuh yang terhenti seketika. Dia tahu mereka akan terus mengejar kenderaannya.

>Oh, oh… kata Rauzah seraya menuding ke langit.

Sebuah helikopter tiba-tiba mengambang dari balik perbukitan berhampiran. Seolah-olah mengiringi kenderaan yang dipandu Normala. Masing-masing sudah mengagak, itu helikopter musuh. Apa-apa akan terjadi.

>Laut! pekik Rauzah seraya menuding pula ke hadapan.

Memandang lautan yang luas terbentang.

>Bagus! Kita terkepung! Dari belakang… depan… dan dari atas! ujar Jeffri.
>Betul! Terperangkap di antara darat, laut dan udara! jawab Normala pula.

> ALLAHuakbarrrrrr! pekik Fariz dari arah belakang.

*Bersambung…

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG