Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Pegawainya, seorang wanita menjadi tawanan. Perisikan Malaysia mengutus ejen Fariz Zafar dan Jeffri Zain menerobos ke kubu musuh. Namun, Fariz Zafar tertangkap!

Markas Bad Holac, Merca, Somalia

DENGAN tangan terikat, Fariz diheret ke bilik utama markas itu. Beberapa kali tengkuknya ditunjal supaya segera melangkah.

Sebentar tadi, Fariz tahu yang dia tidak boleh melawan dalam pergelutan dua lawan satu. Kerana itu, Fariz terus mencampakkan senjatanya dan menyerah sebagai helah.

Langkah lanun di hadapannya terhenti bila melewati bilik Rauzah. Dia hairan kerana pintunya terenggang. Lantas dia menjenguk ke dalam sambil membebel. Kedua-duanya kini berbalas cakap dengan suara yang cemas!

Fariz yang faham bahasa Somali terdengar mereka sedang bertengkar mengenai kehilangan Rauzah. Rupa-rupanya mereka berdua diarahkan menjaga di luar bilik Rauzah. Tetapi mereka curi tulang bila berehat di bilik setor.

Melalui pertengkaran mereka, Fariz tahu wanita itu sudah dibawa lari. Dan dia tahu Jeffri telah membawa keluar wanita itu dari kurungan. Mindanya segera merangka pelan melepas diri ketika musuhnya itu asyik berbincang.

DARI sudut yang gelap tidak jauh dari situ, Jeffri nampak kelibat Fariz dan dua orang lanun yang menawannya. Setelah kedengaran mereka menghampiri, dia lekas-lekas membawa Rauzah untuk bersembunyi di situ.

Mindanya segera mentafsir dan mencongak apa yang harus dilakukan untuk melepaskan perisik junior itu. Dia menoleh ke kanan, dan kemudian ke kiri sebelum berlari keluar dari kegelapan.

*Yeyealikimbia mbali! Yeyealikimbia mbali!

Kedua-dua lanun dan Fariz terkejut bila Jeffri muncul. Fariz berasa lega dengan kehadiran ejen itu. Jeffri pula berlagak cemas dengan menceritakan kepada lanun-lanun itu, Rauzah sudah lari.

Jeffri mengunjuk lorong di sebelah kirinya. Kedua-dua lanun itu terpinga-pinga seketika sebelum berlari ke arah sebelah kiri untuk menjejaki Rauzah.

*Wewekuangalia baadayake. Sambil berlari, seorang daripada mereka memerintah Jeffri untuk menjaga Fariz.

*Ndiyo! Ndiyo!* jawab Jeffri sambil terangguk-angguk beberapa kali.

Tanpa bersuara, Jeffri meleraikan ikatan di tangan Fariz.
*Datuk… ni, budak saya!* Jeffri memperkenalkan Fariz kepada Rauzah.

JEFFRI menguak daun pintu. Kemudian menggamit Rauzah dan Fariz. Namun, sebaik sahaja Fariz melepasi pintu itu, satu hentakan kuat terhunjam ke kepalanya. Fariz nampak bintang.

Belum sempat dia menggeleng untuk menghilangkan pandangannya yang berpinar, satu lagi hentakan tiba ke kepalanya. Fariz tersungkur.

Jeffri segera menarik tangan Rauzah untuk meninggalkan kawasan itu. Kata-kata itu menaikkan darah Fariz. Tetapi betul juga kata lelaki itu.

Di dalam mana-mana operasi, setiap ejen wajib menyelesaikan masalahnya sendiri kecuali keadaan membolehkan rakan sejawat membantunya tanpa menjejaskan matlamat operasi. Fariz menoleh ke kiri dan kanan.

Tercari-cari apakah yang menghentak kepalanya. Tiba-tiba dia nampak sesusuk tubuh.

*Macam kenal dia ni,* kata hati Fariz. Lantas dia teringat lelaki yang berdiri di hadapannya ini adalah pengawal botak yang berentap dengannya ketika memasuki markas ini.

Lelaki berjambang yang tidak berbaju ini semakin menghampiri. Fariz mesti segera bertindak. Walau betapa banyak teknik tempur tanpa senjata sudah dijalaninya, dia mesti menggunakan akal.

Lelaki itu mencekak bajunya. Fariz cuba menepis. Kedua-dua lengannya menolak lengan lelaki itu. Namun sia-sia. Dia cuba mengangkat kakinya. Namun tubuhnya telah dihimpit perut lelaki itu. Kini tubuhnya tertolak ke tembok.

Melihat dirinya sukar melawan, lelaki itu mula tersengih. Menampakkan giginya yang berkarat. Kemudian lelaki itu tertawa. Mulanya perlahan, kemudian semakin kuat.

Membingitkan telinga Fariz. Janggut lelaki itu kelihatan bergerak dan bergegar mengikut gerakan mulutnya yang ternganga tertawa.

*Aku tak ada masa!* bentak Fariz.
*Ha?* Lelaki itu terhenti tertawa. Berasa pelik dengan bahasa yang digunakan Fariz.

Sesaat kealpaan sudah cukup buat Fariz. Dengan pantas dia merentap janggut lelaki itu. Tangan lelaki itu terlepas dari leher baju Fariz. Namun Fariz tetap tidak melepaskan regangan pada janggut lelaki itu. Menyebabkan lelaki itu tertunduk bila tangan Fariz menarik janggut itu ke bawah.

Fariz menghentak lututnya ke leher lelaki itu menyebabkan dia meraung. Dengan cepat Fariz menggunakan kekuatan kedua-dua tangannya untuk melayangkan dirinya terus ke belakang tubuh lelaki itu.

Impak gerakan itu membuatkan lelaki itu tertiarap. Fariz tidak membuang masa. Jika sebelum ini Fariz hanya menekan titik nadi di leher lelaki itu, pada kali ini Fariz terus membedal tengkuknya.

*Selamat tidur!* ujar Fariz sebelum berpaling dan berlari ke luar.

Bersambung…

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG