Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Pegawainya, seorang wanita menjadi tawanan. Biro Risikan Negara telah mengesan kedudukan markas rahsia lanun di sebuah bandar di Somalia.

Ejennya Jeffri Zain ditugaskan dalam operasi menyelamat.

Markas Bad Holac, Merca

SETELAH Abdool memberitahu di manakah Rauzah berada, Jeffri segera menyusur ke arah belakang markas Bad Holac ini dengan pistol terhunus.

Arahan terkini BISIK yang diperoleh Jeffri sebentar tadi ialah membawa Ketua Pengarah Operasi Malpetro ini keluar dari markas Bad Holac tepat pada jam 14.30. Ikut laluan ke Baraawe. Sebuah helikopter akan muncul untuk menyelamat.

Sampai ke sebuah bilik kecil, Jeffri mengintai melalui celah-celah papan yang renggang. Dia nampak tubuh Rauzah berdiri membelakangi pintu. Jeffri mengetuk pintu secara perlahan. Tidak mahu mengejutkan wanita itu. Wanita itu tidak menoleh pun.

RAUZAH sedar ada seseorang yang masuk ke biliknya. Dia mengagak orang yang berada di belakangnya itu pasti anggota lanun. Namun dia sudah bersedia. Telinganya mendengar derap kasut tetamu yang hadir.

Matanya terpejam seketika dan hatinya berzikir memohon keteguhan hati dan perlindungan ALLAH SWT. Di tangannya tergenggam serpihan kaca pintu almari!

Dia berdiri membatu menghadap ke luar jendela. Memandang pasir dan debu serta kejauhan. Namun, telinganya terus mengesan bunyi geseran kasut orang yang baru masuk ke biliknya. Genggaman kaca di tangannya semakin kukuh.

Malam tadi, ketika dia berbaring dan baru hendak terlelap, dia terasa ada seseorang menceroboh ke biliknya.
Seorang lanun menghampiri lalu menyentuh tubuhnya.

Mujurlah dia tersedar dan menjerit meminta tolong. Lanun itu sempat lari sebelum lanun-lanun yang lain tiba. Dia bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Kejadian semalam membuat Rauzah lebih bersedia. Kaca pintu almari di sudut bilik itu dipecahkan. Cebisannya yang berbentuk melengkung seperti badik diambil untuk dijadikan senjata.

Buat persediaan andainya dia cuba diganggu lagi seperti sekarang. Dia tahu kaca itu bukan sahaja boleh meluka, malah merobek!

>Assalamualaikum…

Kedengaran ucapan selamat dari orang yang memasuki biliknya. Suara itu parau dan separuh berbisik. Tentu sekali dia seorang lanun juga, fikir Rauzah. Hatinya mula tertanya-tanya apa yang dikehendaki oleh lanun yang satu ini.

Cara dia memasuki bilik ini pun seperti menyelinap. Mungkin dia berniat jahat. Tetapi, kalau dia berniat serong, untuk apa dia memberi salam?

>Assalamualaikum…

Datuk Rauzah tidak bersuara untuk menjawab salam yang diulang ini. Sebaliknya dia hanya mengangguk. Sebagai tanda dia menjawab salam itu di dalam hatinya. Telinganya masih peka mendengar dari mana arah suara itu.

Apakah tetamu yang tidak diundang ini sudah menghampirinya? Apakah salam ini hanya helah? Mungkin lanun semalam datang semula untuk mencabulnya?

>Cepat! suara itu berbisik lagi. >Saya dari Malaysia… datang nak selamatkan Datuk.”

Bahasa Melayu fasih yang digunakan lelaki itu membuatkan Rauzah kaget. Bagai tidak percaya, ada orang Melayu yang datang untuk menyelamatkannya. Siapa? Lantas dia menoleh.

Sebaik sahaja pandangan mereka bertembung, dia terpandang seorang lelaki yang berambut panjang yang kusut masai. Wajahnya dilitupi dengan kain.

Jeffri segera menekapkan jari telunjuk ke mulutnya sendiri. Meminta Rauzah diam. Jeffri mengintai ke luar pintu. Mempastikan laluannya nanti tiada halangan.

Kepercayaan kepada Tuhan. Kesetiaan kepada Raja dan negara. Keluhuran perlembagaan. Kedaulatan undang-undang. Kesopanan dan kesusilaan!

Rauzah terpempan mendengar lafaz Rukunegara dari bibir Jeffri. Sungguh. Dia sendiri pun dah tidak berapa ingat kelima-lima rukun itu!

>Saya orang Kampung Sawah Dato’ Mersing. Sekampung dengan datuk!
Jika sebentar tadi Datuk Rauzah memandangnya penuh kecurigaan, kini dia memandang Jeffri penuh kehairanan.

<Sekampung? Siapa awak? >Nanti saya cerita! Datuk jangan bimbang. Insya-ALLAH, dalam tempoh 24 jam, Datuk dah berada di tanahair. Ikut saya, ujar Jeffri seraya menguak daun pintu dan menggamit Rauzah mengekorinya.

Meskipun ada seribu persoalan yang ingin ditanya, Rauzah hanya mendiamkan diri. Dia faham, dalam keadaan yang genting ini, dia perlu patuh mengikut arahan. Perlahan-lahan, cebisan kaca di tangannya disimpan ke dalam laci.

Lalu dia terjengkit-jengkit mengekori Jeffri.

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG