Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Biro Risikan Negara telah mengesan kedudukan markas rahsia lanun di sebuah bandar di Somalia. Ejennya Fariz Zafar dapat menyelinap ke dalam markas itu.

Markas Bad Holac, Merca

CAHAYA dari mentol lampu menyilaukan mata Fariz buat seketika bila daun pintu itu dikuak. Fariz memerhati ke sekeliling. Dia berada di dalam sebuah bilik yang dipenuhi kotak dan tong daripada pelbagai saiz.

>Setor… kata hati Fariz.
Dia tertoleh ke kiri bila terdengar suara dua orang sedang bercakap-cakap. Dia mengintai perlahan-lahan ke hala suara yang didengarinya. Dan ternampak seorang lelaki sedang duduk sambil meratah ayam dengan lahapnya.

>Makan tengahari… kata hati Fariz.
Lelaki itu bercakap dengan seseorang berhampirannya. Namun, Fariz tidak nampak kelibat lelaki yang seorang lagi itu.
Fariz tersandar sambil berfikir.

Dia mesti menyelinap tanpa disedari. Tidak harus membuang tenaga kecuali perlu. Fariz menarik nafas yang panjang sebelum memulakan langkah.

Hendak ke mana? minda Fariz segera menterjemah sapaan itu. ‘Bahasa Somali!’ kata hatinya lagi.

Fariz segera tertoleh ke kiri dan kanan. Berlakon seolah-olah tercari sesuatu. Sambil itu matanya melingas untuk mempastikan di manakah lelaki yang menyapanya itu berada.

>Kwa ajili ya kutafutarisasi…Wehliyeakaniulizakupata hiyo kwa ajiliyake! kata Fariz. Berdalih seolah-olah dia salah seorang daripada lanun yang dipinta Wehliye ke setor ini untuk mendapatkan bekalan peluru.

<Risasi? soal suara itu. >Hmm… risasi, jawab Fariz dengan jelas, untuk menyakinkan si penyoal yang dia mencari bekalan peluru.

Tiba-tiba segulung magazin peluru tercampak di depannya. Langkah Fariz terhenti. Perlahan-lahan dia mendongak. Terpandang seorang lelaki berdiri di atas rak kotak-kotak sambil mencekak pinggangnya. Sepucuk senapang tersasar ke arah Fariz.

*Klik!
*Klik!

Kedengaran bunyi penukul dari dua senjata ditarik. Fariz tertoleh ke hadapan. Lelaki yang sedang melahap ayam juga sedang menghunus pistol ke arahnya. Mulutnya masih terkunyah-kunyah menghabiskan makanannya.

Hormon adrenalin terus meluncur di pembuluh darah Fariz. Bulu tengkuknya terasa berdiri. Dia mendengus perlahan. Melambatkan pernafasannya agar tidak kelihatan panik. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Macam mana aku nak elak, ni? Kotak-kotak kat tepi aku semuanya nampak berat. Tak sempat aku angkat jadikan perisai. Aku tak sempat serang salah seorang pun. Aku mesti lari. Tapi nak lari macam mana? Menapak pun aku tak sempat! Fariz berbicara di dalam hatinya.

Fariz hanya membatukan dirinya. Perlahan-lahan dia mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah.

BEHIND THE SCENE:
Bagaimana suasana sesebuah sidang media orang ternama? Dengan sedikit pengetahuan sebagai orang media, saya catat suasana yang lazimnya dilalui oleh orang suratkhabar bersama PM Malaysia.

Di dalam GERAK GEMPAR, bab ini menggambarkan suasana bagaimana berlangsungnya sidang media apabila PM mengumumkan tarikh pilihanraya umum Malaysia!

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

4.00 PETANG. Semua videocam sudah terpacak di tripod masing-masing. Kamera saluran-saluran televisyen utama Malaysia, RTM, Bernama TV, Astro Awani, TV Hijrah, TV3 dan SinarTV sudah diatur menghadap ke arah sebuah rostrum di bilik pejabat Perdana Menteri Malaysia.

Sambil menanti rakaman khas dari PM, para jurukamera dan wartawan kini bersembang sesama mereka. Perbualan masing-masing tampak serius membicarakan apa yang akan berlangsung secara live sebentar nanti.

Namun kadangkala perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa. Tetapi tidak kuat dan lepas seperti mana lazimnya kerana menghormati tempat mereka berada – di bilik pejabat Perdana Menteri.

Sekali-sekala ada di antara mereka yang tertoleh ke pintu masuk bilik itu. Mengharap PM akan muncul. Kerana itu, bila pintu terkuak, masing-masing terhenti berbual. Tetapi perbualan mereka diteruskan kembali bila orang yang muncul bukannya PM, sebaliknya para pegawai JPM.

Seorang dua wartawan mula memandang jam dinding. Ada yang mula bertanya kepada pegawai yang berada di bilik itu. Tidak sabar lagi menunggu. Mereka datang beramai-ramai kerana dipanggil oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ada pengumuman penting yang akan dibuat PM. Pengumuman yang mereka sudah jangkakan. Tetapi, di mana PM? Bila lagi PM akan muncul? Pintu terkuak…

+Assalamualaikum…+
+Waalaikumsalaaaaam…+

Panjang jawapan para wartawan menyahut ucapan salam PM. Masing-masing memandang lelaki tinggi dan segak yang memasuki ruang bilik ini. Mengekori pergerakan lelaki penting Malaysia ini melangkah ke rostrum. Beberapa orang wartawan yang hampir dengan PM menghulurkan tangan bersalaman. PM menyambutnya dengan senyuman.

+Hensemlah PM pada petang ni!+ tegur seorang wartawan yang tinggi gempal.
+Saya yang hensem ke… atau baju saya yang kemas, Palie?+ soal PM kembali kepada Fazli, wartawan Sinar Harian yang dikenalinya.

Jawapan itu disambut dengan gelak ketawa anggota media yang lain. Masing-masing ingin menceriakan suasana. Maklumlah, sesekali bila bertemu PM di majlis yang khas untuk anggota media, mereka tidak mungkin mahu memeningkan kepala PM dengan pelbagai soalan yang akan menimbulkan masalah kepada pemimpin itu. Lebih-lebih lagi di majlis yang amat penting dan bermakna pada petang ini.

+Datuk Seri nampak konfiden. Macam boleh menang sapu bersih, aje,+ celah seorang wartawan senior wanita yang bertubuh bulat.

Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa lagi. PM hanya tersenyum dan terangguk-angguk. Beliau turut ceria bila mendengar pujian itu. Di hatinya, kata-kata wartawan itu ada benarnya. Memang dia yakin. Amat yakin dengan apa yang bakal dilaluinya.

Wajah PM mula serius sebaik sahaja beliau berdiri di belakang rostrum. Jurumekap yang tercegat berhampiran lekas melangkah dan menyapu wajahnya dengan kertas tisu. Tali leher PM dikemaskannya agar elok di lensa kamera. Kamera kesemuanya sudah terpasang untuk merakam pengumuman PM yang akan dibuat sebentar lagi.

Jurukamera Bernama TV mengangkat tangannya. Mengembangkan kelima-lima jarinya. Kemudian dia menguncupkan jejarinya dan membuka empat jari, kemudian… tiga jari, dua jari dan akhirnya mengunjuk isyarat bagus menandakan PM boleh mula berucap.

+Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dapat bersama-sama anda sekalian pada petang ini. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi tadi saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyerah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya parlimen dibubarkan pada hari ini, Khamis 4 Mei 2023.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, baginda telah berkenan bagi parlimen ke-15 dibubarkan berkuatkuasa hari ini. Justeru itu saya menasihat ketua-ketua kerajaan negeri berkenaan untuk menghadap ketua menteri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran dewan undangan negeri masing-masing bagi pilihanraya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.+

PENGUMUMAN Perdana Menteri itu menjadi tumpuan di seluruh tanah air. Skrin-skrin TV di jabatan-jabatan kerajaan, kafe dan kopitiam, dewan dan kantin, lapangan terbang, stesen keretapi dan komuter, teksi dan bas serta di ruang-ruang tamu kediaman menjadi tatapan rakyat pada ketika itu.

Rakyat yang menanti berasa teruja kerana akhirnya Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan PRU-16.

Di jalan-jalanraya, kenderaan membunyikan hon tanda gembira. Rakyat seronok kerana sekali lagi mereka berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi. Pasaran saham pada petang itu ditutup lebih rendah kerana sentimen pasaran yang lebih berhati-hati menjelang pilihanraya.

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG