Kisah sebelum ini:
Sebuah kapal minyak Malaysia telah ditawan lanun Somalia. Biro Risikan Negara telah mengesan kedudukan markas rahsia lanun di sebuah bandar di Somalia. Ejennya Fariz Zafar dapat menyelinap ke dalam markas itu.

Markas Bad Holac, Merca

Fariz mengamati suasana. Ada tangga yang menurun ke bawah. Permukaan anak-anak tangga itu terasa lembut kerana dibentuk daripada tanah. Hidung Fariz berkerinyut bila bau tengik tanah merah mula menyesak hidungnya. Peluh mula merembes ke tengkuknya kerana persekitaran yang berkuap.
Fariz sampai ke pintu kayu yang tiada bertombol.

Perlahan-lahan dia menolaknya. Keadaan di dalam semakin gelap. Hanya ada lampu kalimantang rosak di hujung lorong yang terkelip-kelip bagai lampu di disko. Membuatkan pandangannya sedikit berpinar.

Fariz nampak sebuah lagi daun pintu di penghujung lorong. Dia memerhati ke arah lelangit tempat dia berdiri. Tercari-cari kalau-kalau terdapat kamera CCTV di mana-mana.

>Tak ada CCTV, kata hati Fariz lagi.

Matanya dipicingkan bila ternampak sesuatu yang berkilat kira-kira lima depa di hadapannya. Fikirannya berlari-lari untuk mentafsir apa yang dipandangnya. Benda itu bergerak sedikit. Fariz mematikan langkah lalu mengepilkan dirinya ke dinding.

>Oh, kepala orang! Orang botak! Patut pun, berkilat! gumam Fariz seraya tersenyum.

Tiada jalan melainkan melintasi pengawal di hadapannya. Biar apa yang terjadi, dia mesti melepasi halangan itu. Dengan berhati-hati, dia menyusur menghampiri. Fariz menghela nafas lega bila nampak lelaki itu terpejam matanya.

>Dia tertidur rupanya…

Lelaki itu sedang lena sambil memeluk tubuhnya. Sekejap, tubuhnya condong ke kanan. Seketika lagi condong ke kiri pula. Fariz berengsot sedikit demi sedikit seperti ketam bila berdepan dengan lelaki pengawal itu.

Sebaik sahaja melepasinya, Fariz terus terjengkit-jengkit dengan pantas. Tidak menyedari yang pengawal itu sudah tersedar, lantas menjeling ke arahnya. Mata lelaki itu terbuntang pula. Baru tersedar ada seseorang yang baru sahaja melepasi kawalannya! Lantas dia berdiri…

FARIZ terdengar desiran angin dari arah belakangnya. Dia menunduk dan nampak sebuah bangku melayang melintasi kepalanya. Bangku itu menghentam pintu. Berdegum bunyinya.

Fikirannya segera mentafsir bahaya lain yang mendatang. Belum sempat dia menoleh, Fariz terasa kedua-dua kakinya ditarik oleh musuhnya. Dia tertiarap. Fariz cuba menahan tarikan itu dengan mencakar lantai.

Tubuhnya tiba-tiba terangkat dan dibanting ke tembok sebelah kanan. Dengan sekuat tenaga Fariz menghalang kepalanya daripada terhantuk ke dinding dengan lengannya. Rasa bisa di lengannya menyentap dan menyelinap hingga ke sikunya.

Tubuhnya dibanting pula ke sebelah kiri. Sekali lagi Fariz menahan. Kali ini, impak itu membuatkan pegangan lelaki itu ke pergelangan kakinya sedikit longgar. Fariz segera menendang ke belakang.

“Urghhh…”

Kedengaran erangan musuhnya. Tendangan Fariz menepati tubuh lelaki itu. Kakinya tiba-tiba terasa bebas. Fariz segera berpaling dan melompat untuk berdiri. Bersedia untuk menyerap serangan. Mata Fariz mencerlang sebaik sahaja terpandang tubuh musuhnya.

Lelaki itu tidak berbaju. Dari kilatan cahaya lampu yang terkelip-kelip, Fariz nampak lelaki itu berjambang. Tubuhnya besar. Parasnya melebihi ketinggian Fariz. Malah dia hanya separas dada lelaki itu.

Fariz menelan liur. Memikirkan cara paling ampuh untuk bertentang dengan musuhnya itu. Namun, idea untuk melepas diri belum datang pada saat ini. Lelaki itu melangkah menghampiri.

Dengusan nafasnya kedengaran semakin kuat. Lampu kalimantang masih terkelip-kelip. Cahaya itu semakin mempinar mata Fariz…

“HARGH!”

Lelaki itu merempuhnya. Fariz tunduk dan menahan kepalanya untuk menyondol perut lelaki itu. Hentakan ke perut pejal lelaki itu menyentap leher Fariz. Tengkuknya terasa kebas.

Nafas Fariz tersekat-sekat bila kedua-dua tangan lelaki itu mencekik lehernya pula. Fariz menumbuk rusuk lelaki itu. Sekali… dua kali… beberapa kali. Tiada kesan!

Sebaliknya tubuhnya pula yang terangkat. Lehernya semakin sengal. Telinga Fariz mula berdesing. Petanda paru-parunya tidak cukup oksigen. Dia mesti bertindak segera sebelum kekurangan udara akan melemahkan tumpuan dan fikirannya.

Tangan Fariz tergapai-gapai bila dia cuba melepaskan dirinya. Sesekali jejarinya terasa panas bila tersentuh lampu kalimantang di atas kepalanya.

Tiba-tiba dia memperoleh satu idea. Dia mesti bertindak cepat. Jika tidak, dia pasti pengsan dalam beberapa saat lagi. Dengan sekali sentap, mentol kalimantang itu tercabut dari soketnya. Ruang itu serta merta menjadi gelap. Cengkaman lelaki itu pada lehernya semakin kukuh.

>Tap!

Fariz mematah lampu kalimantang itu dan segera menusuk pinggang lelaki itu dari kedua-dua arah.

>Arghhhhhhhhhhhhhhhhhh!

Lelaki itu terjerit kesakitan. Cekikannya di leher Fariz menjadi longgar. Fariz tergelongsor ke tanah. Dengan cepat dia mencabut lampu kalimantang dari pinggang lelaki itu lalu menghempuk kuat muka musuhnya dengan kedua-dua tapak tangannya. Lelaki itu rebah.

Bersambung…

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG