Kem Tentera Al-Walaan, Merca

TUAN AZIZ berasa yang dia sudah sampai ke kem apabila kenderaan yang membawanya itu berhenti. Enjin dimatikan. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira lima minit. Tubuhnya terasa ditolak ke hadapan. Tuan Aziz melangkah.

Kedengaran bunyi keriukan pintu. Dia terus melangkah setapak demi setapak. Sekejap berjalan lurus ke hadapan. Ada ketikanya membelok pula ke kiri dan ke kanan sehingga dia diminta berhenti.

“ALLAH! ALLAH! ALLAH!” Tuan Aziz menyebut nama mulia itu apabila tiga kali perutnya ditumbuk padu. Bahagian itu terasa sengal. Bila matanya tertutup dengan kain hitam, dia tidak dapat mengeraskan otot perutnya untuk menyerap tumbukan.

“Don’t worry. That is our Standard Working Procedure. We hit before we talk, ok?” kedengaran suara parau yang menerangkan bahawa tumbukan ke perutnya itu hanya prosedur biasa.

Mendengarkan itu, Tuan Aziz tersenyum sumbing. Dia tidak mahu mencelah. Tidak mahu bercerita panjang. Yang penting, misinya untuk mendapat kebenaran dari Jeneral Momo Chacha  mesti berjaya. Telan sahaja apa yang dikenakan. Bukan mati pun!

“Where are you from?” kedengaran suara parau itu menggaung dan bergema.

“From Malaysia. And, I come here for…”

“Enough! General Momo Chacha knows everything! Don’t waste my time. I am busy at war. You come here to do what you want to do. And, I allow you to do what you want to do. But, do it today. Do it fast. Because tonight, I will strike the Somalian Army and I might kill you if you are around. Now… go!”

Dengan kata-kata itu, Tuan Aziz diheret keluar daripada bilik itu.

“And, don’t make so much noise! We are at war. We don’t want to hear any other unecessary noise, ok?” kedengaran suara parau itu lagi. Kali ini agak jauh di belakang kerana Tuan Aziz sedang melangkah keluar dari tempat itu.

Dalam berkelubung itu, Tuan Aziz sedikit kebingungan. Apakah suara itu adalah suara sebenar Jeneral Momo Chacha? Amat menghairankan juga kerana dia membenarkan Datuk Rauzah diselamatkan dari markas Bad Holac, sedangkan kumpulan lanun itu adalah rakan yang bersimpati dengan perjuangannya.

Apakah jeneral itu tidak rasa bersalah membenarkan satu pihak lain menceroboh ke tempat rakannya? Mengapa pula dengan mudah dia memberi keizinan tanpa membuka langsung kelubung di kepalanya, sekurang-kurangnya untuk bertentang empat mata dengannya?

Atau… apa sebenarnya yang Jeffri Zain kelentongkan kepada Jeneral Momo Chacha sehingga pemberontak itu tidak ambil peduli terhadap sebuah operasi dari suatu pihak asing di wilayahnya?

“Engkau bengong, Jeffri!” gumam Tuan Aziz.

Itu sahaja yang terpacul dari mulutnya. Dalam keadaan yang berkelubung itu, Tuan Aziz mula tersenyum meleret kerana mindanya tidak dapat menelah apa helah Jeffri hingga sesuatu misi yang sukar itu boleh menjadi mudah.

Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

KESEMUA Ahli-ahli Majlis bertepuk tangan sebaik sahaja Tuan Aziz melaporkan kejayaan misinya mendapatkan kebenaran Jeneral Momo Chacha. Dengan itu, pasukan Malaysia akan dapat menjalankan operasi menyelamat tanpa gangguan.

            “Mari kita bersiap sedia untuk operasi menyelamat. Masing-masing boleh arahkan bahagian masing-masing untuk bersiap sedia,” ujar PM.

            “Datuk Seri…” celah Setiausaha Keselamatan, Kementerian Permakanan.

            “Hmm…” PM menoleh memandangnya.

            “Apa nama yang kita nak berikan pada operasi ini?”

PM tersenyum seketika. Dia mendongak memandang siling, mencari idea. “Kita namakan ia sambar… Ops Sambar!”

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG