Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

KESEMUA anggota majlis kelihatan menekur ke lantai. Persoalan yang diutarakan oleh PM itu begitu mencabar fikiran mereka. Maklumat yang diperoleh satelit Tanduo yang terapung di udara kapal Lancang Kuning merakam pemindahan Rauzah yang dibawa ke daratan dengan helikopter.

            Walaupun tidak kelihatan Rauzah dipengapakan dengan kasar, namun pemindahan Ketua Pegawai Operasi Malpetro itu cukup menggusarkan. Tiada wang pampasan dipinta, tiba-tiba Wehliye membawa Rauzah pergi dari situ.

            “Tindakan lanun itu di luar jangkaan kita. Tak ada angin… tak ada ribut… tiba-tiba mereka bawak Datuk Rauzah ke darat. Untuk apa?” komen Tan Sri Ramlee Awang Murshid, Ketua Setiausaha Negara.

“Kalau kita tak tau motif, sukar kita nak jangka pelan tindakan. Payah,” celah Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah PASAK pula.

PM memandang kesemua Ahli Majlis, seorang demi seorang. Sebentar tadi, dia bergegas ke bilik mesyuarat ini sebaik sahaja mendapat berita dari KSN. Terpaksa meninggalkan mesyuarat parti politiknya bagi menghadapi pilihanraya. Baginya, hal keselamatan Lancang Kuning itu jauh lebih penting daripada pilihanraya umum.

Andainya apa-apa berlaku kepada Lancang Kuning dan anak kapalnya, persepsi rakyat terhadap kewibawaannya dalam menyelesai masalah akan dipersoalkan. Di dalam politik, menjaga persepsi lebih penting daripada masalah itu sendiri.

 “Datuk Seri… fokus kita dah terpecah dua sekarang ni. Satu di Lancang Kuning… kedua di lokasi Datuk Rauzah berada,” jelas Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Cuma di Lancang Kuning, lokasinya yang terbuka di tengah laut membolehkan kita sentiasa dapat membaca setiap gerak geri musuh pada setiap saat. Tapi, untuk memantau lokasi Datuk Rauzah yang kita belum tahu di mana… well…” Datuk Amsyairi menyudahkan kata-katanya dengan sebuah keluhan berat.

            PM mengangguk perlahan. Dia faham maksud keluhan itu. Sebagai ketua, dia perlu tenang dan membawa perbincangan itu ke arah penyelesaian. Namun penyelesaian itu perlu dimulai dengan sebuah tindakan. Keadaan kian genting.

            “Kita mesti lancarkan operasi menyelamat. Kita bebaskan Datuk Rauzah, anak kapal dan Lancang Kuning.”

            Dari ekor matanya dia lihat semua mata tertumpu kepadanya. Dia tahu cadangan itu perlukan pertimbangan yang sewajarnya.

            “Somalia tu kawasan panas. Perang saudara tercetus kembali. Tentera Al-Walaan masih bertempur dengan tentera Somalia. Macam mana kita nak masuk untuk selamatkan Datuk Rauzah?” soal Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

“Saya baru dapat maklumat dari Somalia… sebentar, ya?” kata PM.

            Fonselnya dicucuk ke wayar berhampiran dengan mejanya. Dia menekan butang dan terpapar wajah Tuan Aziz di skrin besar. Lelaki itu kelihatan melambai-lambaikan tangannya kepada audien di bilik mesyuarat itu.

            “Woooo…” ahli-ahli MPN tergelak-gelak apabila terpandang Ketua Pengarah BISIK. Dalam suasana tegang itu pun mereka jadi teruja kerana tidak menyangka lelaki itu sudah sampai ke lokasi.

            “Patutlah menghilang…” kata Datuk Amsyairi.

            “Assalamualaikum semua di MPN. Maklumat terkini… Datuk Rauzah dilarikan Bad Holac ke markas mereka di bandar Merca,” jelas Tuan Aziz.

            “Macam mana kita nak lancarkan operasi menyelamat?” soal Tan Sri Ramlee Awang Murshid, Ketua Setiausaha Negara.

            “Ya, macam mana nak dapat clearance dari pihak Somalia,” sampuk Datuk Amsyairi, melengkapkan persoalan yang diajukan oleh Tan Sri KSN.

Tuan Aziz terkelip-kelip mendengar persoalan itu. “Bukan pihak Somalia, tapi Al-Walaan. Sekarang kawasan itu dalam kawalan Al-Walaan di bawah kuasa Jeneral Momo Chacha.  Dia, orang yang sukar dihubungi. Tapi…”

“Kalau tak boleh hubungi dia, macam mana kita nak redah markas Bad Holac tu…” pintas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.

“Risiko. Dalam suasana perang, apa sahaja pergerakan yang tidak dikenali akan dianggap ancaman ofensif dari pihak musuh,” jelas Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah PASAK. “Silap, silap… operasi kita gagal dan dia orang isytihar berperang dengan kita pulak.”

“Kalau kita mintak jeneral itu bantu… macam mana?” soal Ketua Setiausaha Keselamatan Tenaga dan Komunikasi pula.

“Memang kita mesti mintak bantuan Jeneral Momo Chacha untuk beri pelepasan sebab ini wilayah Al-Walaan. Barulah kita dapat masuk dan selamatkan Datuk Rauzah,” jawab Tuan Aziz.

“Bila nak hubungi dia?” soal Tan Sri KSN.

“Sekarang!” jawab Tuan Aziz.

Sejurus dia berkata begitu, kelihatan kepala Tuan Aziz diserkup dengan kain hitam. Mereka yang menonton paparan di skrin besar semuanya terpana. Kelihatan tiga orang yang bersenjata lengkap mengiringi Tuan Aziz dan berlalu pergi.

Mereka masih terpinga-pinga apabila kamera video yang mereka tonton itu berputar dan memaparkan wajah orang yang mengambil video itu. Seraut wajah seorang lelaki yang berambut kusut masai dengan janggut serta misai yang tidak bertebas.

“Jangan bimbang tuan-tuan di Majlis Pertahanan Negara. Tuan Aziz selamat masuk ke kem Al-Walaan dan akan mohon restu pasukan Malaysia masuk sekejap ke wilayah dia orang.”

Sejurus, video dipadam.

“Siapa dia tu?” tanya PM.

“Entah…” jawab Datuk Amsyairi.

“Dia cakap Melayu,” kata Datuk Badruldin.

“Ejen BISIK?” tanya PM lagi.

“Maybe…” jawab Tan Sri KSN sambil mengangkat bahu.

Dia, seperti lain-lain anggota MPN tidak mengenali siapakah lelaki yang mengambil video itu. Bagaimana video itu boleh diambil secara berdepan walhal Tuan Aziz dikawal tentera Al-Walaan yang lengkap bersenjata. Mengapa mudah dan bersahaja begitu rakaman itu dibuat?

Mereka tidak tahu, lelaki yang berwajah berserabut itu adalah Jeffri Zain atau Jabril. Bad Holac tidak dimusuhi oleh tentera Al-Walaan kerana kumpulan lanun  itu sentiasa memberi bantuan kewangan kepada gerakan tentera itu. Sebab itu, Jeffri Zain menggunakan kedudukan itu untuk mendapatkan peluang bagi membolehkan Tuan Aziz menemui Jeneral Momo Chacha.

 

Klik  butang di bawah untuk Whatsapp terus kepada Layar Minda Publications dan dapatkan novel GERAK GEMPAR sekarang! No telefon 60192632021

 

PESAN SEKARANG